PENGINTEGRASIAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Wednesday, 18 May 2016
Cabaran Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Pengenalan
Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) telah banyak mempengaruhi budaya kehidupan pada masa ini. Teknologi pendidikan adalah gabungan manusia, idea, alat-alat, teknik dan peristiwa yang bertujuan untuk memberi kesan baik kepada proses pendidikan. Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran bermaksud proses pengajaran yang melibatkan penerapan teknologi seperti komputer dan menggunakan bahan bantu mengajar berunsurkan teknologi dalam pengajaran. Oleh itu, proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang berteraskan teknologi merupakan satu proses yang penting dalam memperkembangkan ilmu dan pengalaman pelajar untuk meneroka dan memahami maklumat baru yang bakal disampaikan oleh guru mereka.
Menjelang penghujung RM Ke-8, semua sekolah dijangka akan mempunyai makmal komputer. Ini bermakna, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan integrasi komputer. Begitu juga dengan mempunyai jangkauan internet dan mengakses lab web tertentu, khususnya pendidikan membolehkan guru mempunyai pelbagai sumber untuk digunakan dalam pengajaran di bilik darjah. Sumber maklumat pelajar tidak lagi terbatas di sekolah atau perpustakaan sahaja. Pelajar boleh mendapatkan apa sahaja maklumat sama ada berbentuk pendidikan atau hiburan semata dengan begitu mudah sekali. Dalam bidang pendidikan khususnya pengaplikasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran memberikan satu anjakan baru dalam teknik pedagogi guru. Namun begitu, pengaplikasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran juga mempunyai cabaran-cabaran yang tertentu.
Cabaran-Cabaran Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Penggunaan teknologi dapat membantu guru-guru menghasilkan bahan pengajaran yang lebih menarik dan aplikasinya dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadikan suasana lebih aktif dan menyeronokkan. Malangnya, penggunaan teknologi d secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah masih lagi terhad. Situasi ini berlaku kerana wujudnya pelbagai cabaran dalam pengintegrasian teknologi terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Cabaran-cabaran yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
i. 1. Tahap kemahiran guru tentang teknologi masih lemah
Penggunaan bahan teknologi maklumat dalam pendidikan khususnya dari segi pengajaran dan pembelajaran pada masa ini telah menjadi satu perkara penting bagi guru-guru. Penggunaan teknologi maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan kemahiran seseorang guru untuk mengendalikan. Guru-guru yang telah lama mengajar dalam bidang bahasa khususnya kurang pengalaman dan pendedahan dengan penggunaan teknologi maklumat. Menurut Ambigapathy Pandian dan Suthagar Narasiman (2003:116), guru-guru mungkin gagal membina keyakinan diri dan persepsi yang betul untuk mengendalikan komputer serta teknologi perisiannya dalam bilik darjah.
Selain itu, guru juga tidak dibekalkan dengan latihan teknologi yang mencukupi. Ketidakcekapan mengendalikan alatan teknologi ini akan mengambil masa yang lama untuk menyediakan peralatan sebelum memulakan proses pengajaran. Hal ini telah menyebabkan tahap kemahiran guru tentang teknologi masih berada pada tahap yang lemah. Justeru itu, masalah timbul apabila guru yang tidak mahir menggunakan teknologi untuk membuat perancangan pengajaran. Perkara sedemikian menyebabkan timbul permasalahan di mana pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Secara tidak langsung, hal ini akan membantut perkembangan penggunaan bahan teknologi maklumat khususnya kepada murid-murid.
ii. 2. Kekurangan prasarana dan bahan sokongan
Proses pengintegrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan prasarana yang mencukupi seperti kemudahan makmal komputer. Bagi memanfaatkan teknologi dalam pendidikan di Malaysia, RM 6 billion telah diperuntukkan untuk teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Pada masa ini, kemudahan alat teknologi yang ada di sekolah adalah tidak seragam dan tidak mengikut nisbah murid yang sepatutnya. Ketidakseragaman ini menimbulkan masalah dan cabaran untuk guru mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, terdapat sekolah yang menempatkan 800 orang murid tetapi bilangan komputer yang terdapat di dalam makmal komputer adalah kurang daripada 80 unit. Oleh itu, dapat dilihat bahawa terdapat murid yang terpaksa berkongsi komputer seramai 2 atau 3 orang.
Bukan itu sahaja, terdapat sekolah-sekolah yang hanya meletakkan komputer di makmal sahaja dan ada yang disediakan dalam kelas-kelas serta tempat tertentu sahaja. Hal ini menyebabkan segelintir guru terpaksa menempah makmal computer terdahulu sekiranya ingin mengaplikasikan pengintegrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Komputer yang digunakan di sekolah juga sering rosak dan ketinggalan dari segi kapasiti dan teknologi. Apabila komputer tersebut mengalami kerosakan, pihak sekolah pula tidak mempunyai peruntukan khas untuk memperbaiki komputer-komputer yang mengalami kerosakan.
Selain itu, masalah makmal komputer juga sering menganggu kelancaran penggunaan komputer dalam pengajaran. Hal ini dapat dibuktikan bahawa terdapat juga guru yang tidak dapat menggunakan makmal komputer disebabkan jumlah bilik komputer yang terhad. Tambahan pula, guru juga terpaksa menempah makmal komputer dan menunggu giliran untuk menggunakan makmal komputer dan juga peralatan ICT yang lain. Perkara ini juga mengakibatkan teknologi kurang diaplikasikan dalam pengajaran.
iii. 3. Sikap Guru
Pengintegrasian teknologi maklumat dalam proses pengajaran merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini untuk meningkatkan tahap kemahiran guru dalam menyampaikan sesuatu khususnya dalam pengajaran bahasa. Justeru itu, terdapat segelintir guru yang masih tidak mengikuti serta enggan mengubah kaedah pengajaran mereka. Hal ini dapat dibuktikan apabila guru-guru yang telah lama berkhidmat dalam dunia pendidikan enggan mengubahsuai corak pengajaran dan pembelajaran serta tidak bersedia melaksanakan pembelajaran dinamik dalam konteks penggunaan teknologi.
Guru-guru ini tidak dapat mengaplikasikan pengintergrasian teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran adalah disebabkan mereka telah sebati dengan kaedah tradisional dan sukar membuat penyesuaian dengan teknologi. Hal ini dapat dibuktikan bahawa mereka masih lagi menggunakan buku teks serta papan tulis semata-mata dan tidak mempunyai alternatif kaedah pengajaran yang terkini. Selain itu, terdapat sesetengah guru yang merasakan penggunaan kaedah pengajaran konvensional sudah cukup untuk menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah. Ini menunjukkan mereka tidak bersedia untuk berubah dan mengintergrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian kerana guru-guru ini masih terpengaruh dengan pendidikan berorientasikan peperiksaan.
Kesimpulan
Keberkesanan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran memang tidak dapat dinafikan. Pengunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat menambah minat murid untuk belajar dan mengenali sesuatu secara lebih dekat dan mendalam. Guru-guru harus sedar bahawa banyak perkara yang perlu dipertimbangkan berkaitan tentang kelebihan relatif mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Bukan itu sahaja, pelbagai penambahbaikan harus dilakukan bagi mengatasi cabaran-cabaran ini. Contohnya, pihak sekolah harus menyediakan prasarana dan bahan sokongan yang lengkap untuk mengalakkan penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran. Pihak kementerian juga haruslah membekalkan lebih banyak latihan yang berkaitan dengan pengintergrasian teknologi ini kepada guru-guru di sekolah.
Kesimpulannya, penguasaan guru dalam bidang teknologi merupakan satu elemen penting dalam kerjayanya sebagai seorang pendidik. Kelebihan menguasai dan mengendalikan alatan teknologi mempunyai tujuan tersendiri dalam meningkatkan prestasi murid sekaligus bagi memartabatkan bidang pendidikan negara. Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi hanya merupakan satu alat yang memudahkan guru untuk memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Bibliografi
Abd. Rahim Abd. Rashid (2005). Profesionalisme keguruan prospek dan cabaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ambigapathy Pandian (2003). Penyelidikan dan peninjauan untuk pendidikan. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Asmah Hj. Ahmad (1989). Pedagogi I. Selangor: Longman Malaysia.
Kenangan Sepanjang Latihan Mengajar
Gambar di bawah merupakan kenangan sepanjang saya telah menjalani latihan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Jaya, Ipoh, Perak.
Kenangan bersama Puan Pengetua, SMK Wira Jaya, Ipoh, Perak.
Kenangan bersama guru pembimbing, Puan Ibtisam.
Kenangan bersama guru praktikum Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Kenangan bersama pelajar kelas 1 Intelek.
Jamuan Hari Raya SMK Wira Jaya, Ipoh, Perak.
Sambutan Hari Sukan Negara.
Kenangan bersama pelajar-pelajar tingkatan 1 Dedikasi.
Kenangan bersama pelajar-pelajar tingkatan 2.
Kenangan bersama pelajar-pelajar tingkatan 3.
Kenangan bersama pelajar-pelajar tingkatan 5.
Tuesday, 17 May 2016
Seminar Pengintergrasian Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Seminar Pengintergrasian Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Selamat sejahtera. Saya dari kumpulan 5 (AT05E) kursus KPR 3012 Seminar Refleksi Latihan Mengajar ingin menjemput semua pengunjung blog ini untuk turut serta dalam seminar yang akan dijalankan pada tarikh yang tertera. Kehadiran anda semua amatlah dialu-alukan.
Subscribe to:
Posts (Atom)